Feed on
Posts
Comments

blog-fta-05112012

Malaysia dan European Free Trade Association (EFTA) hari ini bersetuju untuk memulakan rundingan perjanjian perdagangan bebas. Rundingan ini hanya akan dimulakan pada tarikh yang dipersetujui oleh Malaysia dan EFTA kelak.
Perjanjian ini dijangka akan memudahkan promosi perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi di kalangan negara-negara anggota.
EFTA terdiri daripada Switzerland, Norway, Iceland dan Liechtenstein.
Malaysia sedang berunding dengan Kesatuan Eropah bagi memuktamadkan perjanjian perdagangan bebas. Perjanjian yang serupa dengan EFTA ini akan meluaskan rangkaian perdagangan berkeutamaan Malaysia ke seluruh Eropah.
Pengumuman hari ini telah dibuat di Kuala Lumpur oleh Dato’ Seri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Johann N. Schneider Ammann, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Switzerland yang mewakili EFTA.
Kedua-dua Menteri turut menyaksikan majlis menandatangani skop perjanjian perdagangan bebas yang bakal diliputi di dalam perjanjian ini. Perjanjian ini telah ditandatangani oleh Datuk Dr. Rebecca Fatima Sta Maria, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Didier Chambovey, Duta dan Perwakilan Kerajaan Switzerland bagi Perjanjian Perdagangan.
Perdagangan Malaysia dengan EFTA berjumlah RM4.8 bilion tahun lepas. Sebanyak lapan puluh satu peratus daripada jumlah tersebut adalah dengan Switzerland.
Perjanjian perdagangan bebas yang dicadangkan ini dijangka dapat menyediakan akses pasaran yang lebih baik bagi barangan dan perkhidmatan Malaysia kepada negara anggota EFTA. Perjanjian ini juga diharapkan dapat menyediakan persekitaran yang lebih telus dan boleh diramal untuk pelabur dan seterusnya meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan dan hab pengeluaran.

Leave a Reply